Friday, July 4, 2008

:: Jika Semalam Aku PM ::

Jika semalam aku PM.. sebelum aku mengumumkan kadar kenaikan harga petrol(andai kenaikan harga petrol ini memang terpaksa dilakukan) kepada rakyat, aku akan terlebih dahulu akan membuat satu pengumuman iaitu:

1- Sebagai PM aku menyerahkan kembali setiap elaun yang aku tuntut setiap bulan akan aku serahkan kembali ke pada kewangan negara setiap bulan.

2-Sebagai Menteri Kewangan 1 aku menyerahkan kembali 50% dari gaji hakiki serta sebarang tuntutan elaun kepada kewangan negara setiap bulan.

3-Sebagai PM aku akan mengarahkan semua Menteri Kabinet agar menyerahkan kembali 20% gaji hakiki kepada kewangan negara setiap bulan.

4-Sebagai PM aku akan mengesyorkan semua Ahli Parlimen menyerahkan kembali 50% sebarang tuntutan elaun kepada kewangan negara setiap bulan.

5-Sebagai PM aku akan mengarahkan semua agensi/jabatan kerajaan melaksanakan perbelanjaan berhemah. Tiada lagi sebarang majlis sambutan yang menggunakan perbelanjaan dari sumber kerajaan. (Hendak buat juga, kutip dari anggota).

Selepas mengumuman langkah-langkah ini baru lah aku sebagai PM dengan nada sedih tetapi tegas mengumumkan kenaikan harga petrol, menyakinkan kepada rakyat bahawa kita semua kena berkorban untuk negara.

Namun begitu bagi menyerap beban kenaikan harga petrol ini, selain dari pemberian RM625 dan Rm150(yg mcm mempersenda rakyat) aku akan turut mengumumkan subsidi 70% bagi menukaran sistem ke pengunaan NGV. Dan aku mengarahkan syarikat minyak agar menyediakan pump NGV disetiap bandar-bandar utama negara pada kadar segera dan akan diperluaskan kepada setiap station petrol tidak lama lagi.

Sekurang-kurangnya.. Aku sebagai PM dan barisan kabinet turut merasa keperitan rakyat(walaupun sebenarnya gaji aku xluak pun) dan berusaha menunjukkan yang kabinet turut simpati kepada rakyat.

Entah ler.. yg hakikatnya aku bukanlah PM semalam!

Thursday, July 3, 2008

:: Semuanya Keranamu Malaysia! ::

Demi kebanggaan..

Satu angkasawan sudah naik ke angkasa lepas..
Satu pasukan kecil penerjun udara di hantar ke kutub selatan, utara, timur, barat, tenggara bla3..
Dan bermacam lagi projek mega yang menelan belanja berjuta-juta..
Semata-mata atas namamu Malaysia..
Dia berada di atas. Seharusnya dia seorang yang hebat! Mempunyai pandangan jauh dan bijak membuat keputusan demi kebaikan bersama. Kalau dia pun setakat boleh buat keputusan macam kita, lebih-lebih lagi soal kewangan, baik dia pun duduk sama rendah dengan kita.

Maka berjuta rakyat terpaksa menerima kenaikan harga minyak!

Hakikatnya kita memang tidak ada duit lebih.. Kenapa harus membazir-bazir?

Sepatutnya dia pun macam abah. Apa yang kita tak ada dia beri. Sebab dia yang uruskan perbelanjaan rumah. Dia yang uruskan hal-hal kita setiap hari.

Misi dan matlamat tak tercapai. Orang kata jangan terlalu awal membuat kesimpulan. Hakikatnya ia melibatkan berjuta manusia yang bergantung di bawah satu bumbung. Kalau bumbung bocor, semua orang pun basah lencun!

Bila sudah jadi begini, kita pun dapat mengagak apa akan jadi di masa hadapan. Sebab dari awal sudah tunjuk petanda tidak bijak menguruskan wang. Bila ditanya bukti? Tekanan yang dihadapi rakyat akibat kenaikan sudah cukup menjadi bukti.

Itu belum masuk akibat. Untuk sebulan dua mungkin harga barang masih stabil. Tetapi untuk 'next shipment' bagi barangan import dan tempatan, kenaikan pasti berlaku. Kesannya juga pasti ditelan semua orang. Yang membuat bisnes pasti runsing kerana pengguna semakin kurang berbelanja. Yang bergaji sederhana dahulu mungkin terpaksa melupakan aktiviti shopping di hujung bulan. Itu tidak salah, sebulan penat bekerja, apa salahnya shopping sedikit. Ia juga satu 'reward' pada diri sendiri. Tapi lepas ni nak shopping kena fikir seratus lapan puluh empat perpuluhan tiga kali. Itu belum kira yang berkeluarga.

Kita masih pelik lagi. Kenapa jadi begini? Mungkin sebab ada yang tak rasa. Sebab minyak, duit rumah, bil api air semuanya ditanggung beres. Kalau tak pun, boleh claim nanti!

Kalau kita tentang, dia marah. Tapi kalau kita tak tertekan, tak ada lah kita nak bising-bising!

Wednesday, July 2, 2008

:: Kafe Francais Tak Perlu Di IPTA ::

Objektif penubuhan IPTA ialah untuk melahirkan para cendekiawan, ahli akademik dan juga professional.

IPTA merupakan wadah dan platform bagi mereka menuntut ilmu bukannya sebagai tempat untuk beristirehat atau bersantai, atau melahu. Justeru kita harus melihat kepada peratusan keperluan untuk memberi kebenaran kepada Starbucks, Dunkin Donuts dan Kopitiam untuk berada di IPTA.

Jika ditanya tentang kualiti graduan IPTA sekarang, apakah Kementerian Pengajian Tinggi boleh berbangga dengan pencapaian mereka jika dibandingkan dengan pelbagai kemudahan dan fasiliti yang telah disediakan oleh pihak universiti? Apakah prestasi, produktiviti dan keberhasilan mereka boleh dimegahkan setara dengan modal yang telah kerajaan laburkan?

Semua persoalan itu perlu dibuat timbang tara sebelum hasrat murni tersebut direalisasikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi. Pendapat awam dan ahli akademik juga perlu diambil kira.

Setiap perkara ada pro dan kontranya. Kedua-duanya perlu melalui satu proses rundingan. Semestinya jika ditanya kepada pihak franchisee, akan tiada kesan negatifnya, kerana mereka ialah pihak “pembuat untung”.

Tetapi sekiranya soalan ini dilontarkan kepada ahli akademik, ibu bapa dan juga orang awam, semestinya akan wujud pelbagai pendapat yang lebih jujur.

Saya melihat idea ini akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada mahasiswa IPTA. Pertamanya, dari aspek kewangan yang tentunya akan memberi impak kepada pelajar itu sendiri. Bagi yang berkemampuan, mungkin pada mereka minum pagi di Starbucks, minum petang di Dunkin Donuts dan minum malam di Kopitiam, tidak menjadi soal. Sama saja seperti mereka minum di kedai Kak Ani atau juga di warung mamak.

Tetapi apa pula halnya, bagi mereka yang tidak mampu, sebaliknya cuba untuk “buat-buat mampu” bagi meniru atau menyamakan status dengan pelajar lain? Fenomena ini akan mewujudkan double standard di kalangan pelajar dan mereka akan bersaing secara tidak sihat bagi menyamakan kufu di kalangan mereka.

Di mana-mana sekalipun akan berlaku kecurian, tetapi gejala ini akan lebih meningkat sekiranya mahasiswa yang sedang mengalami masalah kewangan tetapi masih ingin kekal cara hidup mewah.

Sama juga halnya suatu ketika dulu apabila fenomena telefon bimbit melanda di IPTA. Masalah kecurian seringkali berlaku hanya semata-mata pelajar yang tidak mampu pada masa itu terpaksa mencuri untuk memilikinya. Maka, tidak mustahil perkara sama akan terjadi.

Kedua, para ibu bapa juga perlu bersedia untuk berhadapan dengan kerenah anak-anak meminta dikirimkan wang belanja lebih kononnya kos sara hidup di universiti semakin meningkat.

Dan mungkin lebih teruk lagi bagi anak yang cerdik lebih sikit akan menggunakan alasan kesan harga petrol meningkat maka harga makanan di universiti turut melambung walhal anak mereka minum hot chocolate atau café latte di waktu pagi dan iced blended mocha setiap petang.

Tidak terkecuali juga, ada pelajar yang akan menggunakan wang PTPTN untuk tujuan tersebut.

Harus diingat, walaupun kerajaan telah meluluskan RM3 bilion untuk peruntukan PTPTN, tetapi ia bukanlah untuk bersantai di kafe seumpama itu. Lebih membimbangkan, pelajar akan berjimat atau lebih berkira untuk membeli buku atau membayar yuran hanya semata-mata untuk bersantai. Implikasi beginilah yang kita tidak mahu terjadi.

Pandangan ini bukanlah bersifat konservatif, tetapi ia lebih memikirkan soal sejauh mana keperluan cadangan itu. Antara alasan yang di beri oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ialah pelajar IPTA memerlukan Wi-Fi untuk mengulangkaji kerana sebelum ini mereka perlu keluar dari kawasan universiti untuk tujuan tersebut.

Saya mencadangkan apalah kiranya jika pihak kementerian bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi menyediakan perkhidmatan Wi-Fi waima yang terbaik sekalipun di seluruh IPTA. Maka tiadalah lagi alasan untuk mereka keluar mencari perkhidmatan tersebut.

Saya juga mencadangkan agar pihak universiti dapat menyediakan atau menaik taraf kafe-kafe yang sedia ada agar boleh menarik minat mahasiswa menggunakan waktu senggang mereka untuk mengulangkaji pelajaran, bersosial dengan teman-teman dan menjamu selera.

Namun demikian, jika pihak kementerian tetap berpendirian untuk membawa masuk kafe-kafe francais, saya cadangkan agar kafe-kafe tempatan seperti Kluang Station, Secret Recipe dan Old Town White Coffee diberi peluang.

Kafe berkenaan turut menyediakan hidangan yang hampir serupa dan dalam masa yang sama pihak kementerian dapat membantu jualan pengusaha kafe tempatan.

Sebagai rakyat tempatan, tidak perlulah kita berbangga sangat dengan produk-produk dari Amerika ini, kerana kita juga mempunyai kualiti yang hampir sama tetapi populariti yang kurang dek kerana sikap kita yang sukakan produk luar. Cuba kita ambil inspirasi daripada bangsa Perancis yang mengawal kemasukan produk Amerika tetapi mewujudkan lebih banyak kafe dan bistro kemudian menjenamakannya dengan nama Perancis seperti Delifrance dan sebagainya.

Bangsa mereka terkenal dengan penjenamaan seperti “french toast, french silk, french fries” dan sebagainya bagi mengalih tumpuan rakyatnya kepada produk tempatan dan ternyata ia berjaya.

Amat sukar untuk kita minum di Starbucks ketika berada di Perancis walaupun ia memiliki sebanyak 15,700 outlet di 43 buah negara dan salah satunya Malaysia.

Sekali lagi saya memohon agar Kementerian Pengajian Tinggi memberi perhatian, penelitian dan penilaian sebelum idea itu dilaksanakan. Janganlah kita lupa bagaimana warga Universiti Malaya membantah sekeras-kerasnya kemasukan Mc Donalds pada tahun 1999 dan akhirnya hasrat itu tidak dilaksanakan walaupun premisnya telah siap.

Tetapi, pada masa yang sama warga Universiti Malaya masih lagi tidak kempunan untuk makan Big Mac dan Cheese Burger di sekitar Petaling Jaya.